Entah berapa kali saya menaip dan memadamkan semula tajuk blog kali ini. Sudah beberapa tajuk yang hanya sekadar menjadi draf. Saya memang buntu dan acap kali menarik diri untuk menulis.Mungkin kerana blog ini penuh dengan kenangan saya. Namun menulis merupakan terapi saya dalam menangani emosi yang banyak pasang surutnya.Tambah - tambah sejak diuji Allah menjelang Syawal tempoh hari. Nak tulis tajuk pun sedih.Apatah lagi nak ceritakan apa yang berlaku.
Saat orang lain main mercun, selfie ramai - ramai dengan kaum keluarga, masak ketupat rendang malam raya tempoh hari, saya suami isteri, rakan baik, kakak dan abang ipar berkampung di rumah mayat Hospital Melaka. Hanya ada satu kes kematian malam raya itu di Hospital Melaka. Saat itu, air mata silih berganti dengan tarikan nafas supaya lebih tenang. Allah memanggil kembali anak saya yang dikasihi, Muhammad Anas bin Muhamad Azam pada petang 30 Ramadhan bersamaan 5 Julai 2016. Rasa sesak nafas ini nak tulis bait- bait ayat ini. Kebanyakan post sebelum ini lebih banyak saya tulis dalam facebook peribadi. Mungkin lebih segera meluahkan perasaan di facebook.
Arwah Anas ni antara anak saya yang paling ceria mungkin kerana sifatnya yang suka mengusik. Tambahan pula dengan pelatnya. Sebagai ibu, saya dapat rasakan perangai Anas sangat lain 2 - 3 bulan sebelum kematiannya. Pernah hati saya ni terdetik, Allah nak ambil ke anak saya ni. Muka Anas nampak macam tak sihat, walaupun hakikatnya dia jarang sangat sakit. Boleh dibilang dengan jari, Anas sakit. Rekod di hospital memang tak ada langsung.
Anas sangat manja dengan saya. Setiap pagi sebelum saya pergi bekerja, mesti dia akan buat acara untuk bagi saya kelam kabut. Jadi saya pasti setiap pagi, saya akan bersiap sedia sebelum dia mula cari pasal untuk menangis. Sebelum dia bangun tidur, saya dah siapkan awal - awal susunya. Kemudian, setelah dia bangun tidur, baru je nak buka mulut untuk nangis, saya sudah suakan susu sambil ucap 'Assalamualaikum Anas'. Masa tu, muka dia mesti tersengih - sengih sambil mula minum susu. Kemudian, saya kena tukarkan lampinnya sebelum tukar lampin adiknya Ammar. Mujurlah Ammar lebih sabar. Kadangkala, selepas dukung Ammar ke kereta, saya kena dukung Anas pula kerana dia akan pura - pura lenguh kaki. Rupanya itu salah satu tanda kematian semakin hampir. Anas memang kerap mengeluh sakit kaki dan minta saya urut.Namun saya anggap biasa kerana dia memang suka dimanja. Malam - malam sebelum tidur, minta diurut,digosok,digaru belakang badannya. Betapa manjanya Anas, tiap malam, saya kena tidur di tengah - tengah antara Ammar dan Anas. Kakak Khaulah bisa saja mengalah. Kadang kala saya rimas juga, saya turun tidur di bawah. Nah, esok pagi, Anas mesti sudah di belakang saya seperti awal malamnya. Anas juga suka cium dan tidur di celah ketiak. Mungkin penangan bf hampir 2 tahun.
Setiap hari, mulut saya memang tidak lekang dengan nama Anas kerana ada saja usikan, gelagat, perbuatan dia yang membuatkan saya meleterinya. Namun, Anas pandai memujuk. "Mama jangan marah eh. Anas tertumpahkan air. Nanti Anas lap". Hingga kini, saya selalu tersasul menyebut namanya.
Sebelum tiba saat pemergiannya, tanda Anas nak pergi banyak sangat. Dia seolah memberitahu itu sangat jelas. Namun hati mak ni banyak 'denial' dan tidak sedar.
a. Anas selalu tanya saya, "Mama , nangis tak kalau Anas meninggal". "Mama nangis tak kalau Anas accident". Tiap kali dia bertanya , saya akan menjawab Ya.
b. Anas selalu cium saya dimuka, pipi dan dahi. Namun, malam hari sebelum hari kejadian, dia mencium bibir saya.Sambil ucap, "Anas sayang mama". Dia tak pernah cium bibir.
c. Anas bagitau neneknya di Kedah "Nanti tok datang umah Anas yang betul - betul tau. Datang raya tau".Memang mak saya turun dari Kedah semata - mata untuk menziarahi Anas buat kali terakhir di rumahnya yang betul - betul di pagi raya itu.
Kisahnya, petang terakhir Ramadhan itu seolah - olah seperti filem. Saya dah siap masak untuk juadah raya esoknya.Sambil kakak ipar mengawasi anak - anak saya bermain di ruang tamu. Anas memang bermain bersungguh - sungguh dengan Ammar dan Khaulah. Riuh rendah rumah dibuatnya. Saya pun dah siap mandikan Anas,bedakkan dia dan juga Ammar. Tinggal tunggu waktu berbuka saja. Entah bila masanya, saat saya kembali jengah ke dapur, keluar semula dan mendapatkan anak - anak saya. Saya perasan anak saya kurang seorang. Saat itu jugalah, telefon berdering dan panggilan itu dari suami yang mengatakan dia dalam ambulan membawa Anas ke Hospital Melaka. Jam waktu itu pukul 6.30 petang. Rasanya , lemah lutut, longlai dan sebagainya. Apabila tiba di kecemasan zon merah, Anas sudah diberitakan tiada lagi. Azan Maghrib berkumandang dan seterusnya takbir bergema. Suami saya memakai pakaian hospital kerana bajunya habis berlumuran darah. Saya mencium tubuh kecil Anas yang terbujur kaku dengan kepala yang berbalut. "Allah, aku redha melepaskan pemergian kesayanganku,darah dagingku yang dikandung selama 38 minggu, yang tiap malam bersama denganku."
Saya sempat membacakan yassin untuk Anas sebelum tubuh kecil itu diusung ke bilik mayat Hospital Melaka. Post mortem dijangka 10.30 malam itu juga kerana esok raya. Panggilan bertalu - talu dari sahabat handai dan keluarga. Saya sempat menelefon pengasuh Anas untuk mohon dihalalkan makan minumnya. Malam itu, bunyi mercun dan takbir silih berganti dari Masjid Al Azim dan sekitarnya seolah tidak memberi kesan kepada emosi saya. Dunia seolah terhenti. Pastinya suasana raya tidak akan sama lagi. Malam itu, saya tidak tidur. Esoknya jenazah Anas dimandikan oleh ayahnya dan bilal selepas Solat Sunat Aidilfitri. Alhamdulillah mudah sekali urusannya. Anas dah boleh tinggal di hotel seperti yang Anas minta tempoh hari. Hotel yang paling best. Jenazah Anas di bawa pulang ke rumah Nek Pah dan dicium dan ditatap buat kali terakhir. Alhamdulillah, jenazah Anas dikebumikan dan disolatkan sebelum Zohor.
Anas sayang, lahir dalam Ramadhan, pergi juga dalam Ramadhan. Jangan lupa tarik dan genggam tangan mama abah untuk ke syurga nanti. Al Fatihah untuk sayangku Muhammad Anas Muhamad Azam.
Catatan berita kematian Anas di
Harian Metro dan
Berita Harian Online. Berita tentang Anas turut disiarkan di RTM1 dan TV3 malam itu. Memang Anas nak semua orang ingat tentang dia. Semua sayang Anas.
 |
gambar raya tahun lepas |
 |
anak - anak mama |
 |
Anas dan aksi sebelum bergambar |
 |
Bersama nek pah |
 |
Anas dan tolo car |
 |
Anas sangat berani dengan haiwan |
 |
Lepas mandi di Lost World dengan Abah |
 |
Anas pandai wefie |
 |
Partner bermain yang macam kembar |
 |
Anas curi - curi ambil gambar dengan hp mama |
 |
Anas dan tok wan main basketball kat kampung |