Artikel Terbaru

9A SPM untuk buat ibu gembira


9A SPM untuk buat ibu gembira
9A SPM untuk buat ibu gembira
Oleh Zairee Mohd Yasak
cnews@nstp.com.my

MELAKA: Kesilapan lalu tidak menghalang seorang pesalah juvana membuktikan kemampuan apabila memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017.

Kehidupan baharu di Sekolah Henry Gurney (SHG) Telok Mas, di sini, nyata memberi sinar buat Remy (bukan nama sebenar), 21, bertekad untuk mengubah kehidupan dan penerimaan masyarakat.

Remy yang ditahan atas kesalahan merogol, bakal dibebaskan Mei ini selepas menjalani pemulihan di SHG, sejak lebih dua tahun lalu.

"Along janji tidak akan buat ibu Along menangis lagi.

"Syukur Along ditangkap dan dihantar ke sekolah ini, jika tidak mungkin terus menjadi remaja liar," katanya yang turut ditemani ibunya berusia 47 tahun dan seorang adik perempuan berusia 17 tahun.

Remy yang dinobatkan pelajar terbaik adalah antara 63 pelajar SHG yang menerima salinan peperiksaan SPM 2017 dalam satu majlis ringkas yang diadakan di sekolah itu di sini, hari ini.

Majlis pemberian salinan peperiksaan itu disampaikan Pengarah Pengurusan Banduan Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhamad.

Remy berkata, hanya keazaman untuk mengubah kehidupan pada masa depan menjadi pendorong utama dia menduduki peperiksaan SPM yang tidak pernah diambilnya sebelum ini akibat tercicir dalam pelajaran.

"Memang tempoh enam bulan pertama sebaik dijatuhi hukuman saya tidak dapat menerima kenyataan sehingga membuatkan saya sering dirotan pegawai penjara kerana memberontak.

"Mungkin kerana sudah bosan menerima hukuman rotan dan sering dinasihati guru serta rakan membuatkan saya menumpukan pelajaran sehinggalah saya dapat apa yang saya inginkan," katanya yang mahu menceburi bidang aeroangkasa selepas ini.

Selain enam subjek teras, anak sulung daripada dua beradik berasal dari Damansara, Selangor itu turut memperoleh A bagi mata pelajaran Tassawur Islam, Ekonomi Asas dan Perdagangan.

Sementara itu, kegembiraan di atas pencapaian akademik turut dikongsi Aminah (bukan nama sebenar), 52, apabila anaknya, Idris (bukan nama sebenar), 21, berjaya memperoleh 8A dan 2B.

"Paling ketara, perubahan sikap anak saya yang kini lebih beradab dan bersopan selepas menjalani hukuman tiga tahun di sini.

"Lebih membanggakan, dia langsung tidak pernah tinggal solat. Saya berdoa semoga perubahan ini kekal kerana dia akan dibebaskan bulan ini," katanya.

Berbanding Remy, Idris yang berasal dari Cyberjaya, Selangor, berjaya memperoleh B bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Al-Quran dan Sunnah.

Aminah berkata, walaupun anaknya dikategorikan sebagai pelajar pintar, anak sulung daripada dua beradik itu sering menghabiskan masa di luar bersama rakan sehingga terjebak dengan kesalahan rogol.

Sementara itu, Nordin berkata berdasarkan rekod pihaknya, kejayaan sama pernah dicatatkan seorang pelajar di situ pada 2011 dan SHG masih mengekalkan kelulusan 100 peratus bagi tempoh lima tahun berturut-turut.

Sumber : https://www.bharian.com.my/
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==