Artikel Terbaru

[update] Yuran Sekolah Dari Duit Syiling

Alhamdulillah, rupanya masih ramai yang prihatin. Saya menerima banyak pertanyaan , bagaimana nak salurkan bantuan. Saya pun tidak sangka, entri tentang yuran duit syiling sebagai muhasabah diri mendapat perhatian pembaca. Memang, kalau diikutkan, hidup di bandar besar , kosnya sangat tinggi hingga wujud istilah miskin bandar. Kalau di kampung, macam saya di Sabak Bernam, boleh lagi bercucuk tanam, ikan masih boleh di pancing di parit atau sungai. Sekurang - kurangnya, wang yang ada hanya digunakan untuk membeli garam dan gula. Namun harga barang yang meningkat menyebabkan kebanyakan yang hidup biasa - biasa ini yang paling terkesan.

"Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya, Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik; Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya." (Adh-Dhuha: 9-11)

Di sini saya update sedikit cerita pelajar berkenaan. Menurut ustazah Khadijah bt. Alang Abu Shuker (guru pelajar tersebut),terdapat 2 orang pelajar yang dirasakan perlu dibantu, iaitu Nurkhatijah bt. Abdullah dan Norsyafiqah bt.Abdul Rahim. Kedua- duanya anak yatim. Seorang tiada emak dan seorang lagi tiada bapa. Boleh berhubung terus dengan ustazah Khadijah untuk maklumat dan bantuan. Nombor telefon bimbit ustazah:017-3078400.

Sekadar renungan, Rasulullah s.a.w. sangat memuliakan anak yatim dan suka menggembirakan mereka. Lantaran Baginda s.a.w. juga seorang anak yatim. Jadi apalah salahnya, kalau sumbangan yang kita berikan dapat menggembirakan mereka, memberikan motivasi untuk mereka ke sekolah.

Inilah pelajar yang dimaksudkan, adik Nurkhatijah bt. Abdullah. Happy je kan nak sekolah.

 
Adik Nurkhatijah dan Nursyafiqah, pelajar yang dirasakan perlu dibantu kerana kedua - duanya tak mampu bayar yuran sekolah.




 
Nurkhatijah dan neneknya di rumah Ustazah. Datang rumah ustazah ingatkan nak mengaji Quran, rupanya ustazah beri sedikit taklimat untuk program shopping barang keperluan adik ni hasil bantuan dermawan.

Adik Nursyafiqah dan ibunya. Ibunya juga seorang cleaner yang akan tamat kontrak bulan 6 nanti. Pernah kena strok dan pertuturannya kurang jelas. 
Di bawa membeli barang keperluan asas di Tesco dan baju sekolah dibeli di Pasaraya Hari - Hari.

Keluarga ini tidak meminta untuk dibantu, namun apakah kita sebagai saudara seagama, punya sedikit wang lebih hanya menutup sebelah mata sahaja melihat kesusahan mereka. Sesungguhnya,memuliakan anak yatim dan menggembirakan mereka hatta dengan sedikit manisan, akan dapat ganjaran yang besar di sisi Allah s.w.t.

Jumlah kutipan sebanyak RM1000.00 terkumpul selama satu hari setengah digunakan untuk program shopping pada 4 Januari 2014. Sebanyak RM800.00 dibelanjakan untuk keperluan anak - anak tersebut. RM200 dan lebihan baki sumbangan akan digunakan untuk keperluan persekolahan sepanjang tahun ini.

Allah s.w.t. melarang manusia berbuat zalim terhadap anak yatim.  Malah, seseorang yang berlaku zalim, tidak menjaga hak dan memberi makan anak yatim dianggap sebagai mendustakan agama.  ALLAH subhanahu wata’ala berfirman dalam surah al-Ma`uun ayat 1-3:
أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ
Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama?
فَذَلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ
Itulah orang yang mengherdik anak yatim
وَلا يَحُضُّ عَلَى طَعَامِ الْمِسْكِينِ
dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.

Berbahagialah ibu dan nenek adik - adik tadi, gurunya dan orang yang membantu mereka sesuai dengan hadith di bawah kerana anak - anak ini bakal menjadi penghalang api neraka kelak.

 “Barang siapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka”.

Daripada Abu Ummah diceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap. Dan barang siapa yang berbuat baik kepada anak yatim perempuan dan lelaki, maka aku dan dia akan berada di syurga seperti ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan merenggangkan antara jari telunjuk dan jari tengahnya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

“Orang yang memelihara anak yatim dalam kalangan umat Muslimin, memberinya makan dan minum, pasti Allah SWT akan masukkan ke dalam syurga, kecuali ia melakukan dosa yang tidak boleh diampun.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: 

“Katakanlah, sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (sesiapa yang dikehendaki-Nya)’, dan apa saja yang kamu infakkan, maka Allah akan menggantikannya dan Dialah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.” (Surah Saba ayat 39).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak ada suatu pagi yang dilalui oleh seorang hamba kecuali dua malaikat turun. Satu daripadanya berkata: Ya Allah, berilah ganti orang yang berinfak (dermawan). Malaikat yang satu lagi berkata: Ya Allah, berilah kehancuran bagi orang yang kedekut.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad dari Abu Hurairah).

Terima kasih kepada semua dermawan. Hanya Allah s.w.t yang mampu membalas jasa kalian .

Jazakallah hukhairan kathira.


close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==