PERDANA Menteri Benjamin Netanyahu dan isteri, Sara. - Foto Reuters
PERDANA Menteri Benjamin Netanyahu dan isteri, Sara. - Foto Reuters
Bekas jurucakap PM Israel didakwa cuba rasuah hakim
BAITULMAQDIS: Polis Israel, semalam mendakwa bekas jurucakap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, cuba merasuah hakim supaya menggugurkan kes penipuan terhadap isteri Netanyahu, dalam siasatan rasuah terbaru membabitkan pemimpin rejim Zionis itu.
Kes rasuah baru itu adalah satu daripada dua yang didedahkan semalam membabitkan bekas jurucakap sama, rakan rapat Netanyahu.
Polis juga menamakan beliau sebagai individu yang ditangkap dua hari sebelum ini dalam kes berasingan membabitkan dakwaan rasuah di syarikat telekom terbesar Israel.
Pemimpin berhaluan kanan itu, yang sudah memegang jawatan berkenaan 12 tahun sejak 1996, menyaksikan penguasaan politiknya diancam siasatan rasuah sejak polis mencadangkan beliau didakwa atas tuduhan rasuah dan penipuan.
Netanyahu menafikan sebarang salah laku dalam empat siasatan berasingan, termasuk dua yang menyaksikan beliau menjadi suspek secara peribadi.
Katanya, dakwaan itu bermotifkan politik.
Dalam kes terbaru, polis berkata bekas jurucakap Netanyahu, Nir Hefetz, menawarkan bantuan membantu seorang hakim mendapatkan jawatan Peguam Negara jika beliau bersetuju menggunakan kedudukan itu untuk menghalang sebarang prosiding ke atas isteri Netanyahu, Sara.
September lalu, Peguam Negara, Avichai Mandelblit, berkata beliau mempertimbang mendakwa Sara Netanyahu kerana penipuan berhubung penggunaan dana negara untuk majlis peribadi dan perkhidmatan katering berjumlah kira-kira AS$100,000 (RM380,000). - Reuters
Source : https://www.bharian.com.my