![]() |
MAYAT Mohamad Haniff Mat Zabidi,24, ditemui orang awam di dalam hutan berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bintang Hijau, Jalan Kupang. - Foto Ihsan Pembaca |
Disangka kijang rupa-rupanya kawan sendiri
news@nsrp.com.my
IPOH: Polis menahan tiga lelaki susulan penemuan mayat lelaki dalam keadaan terbaring dalam hutan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bintang Hijau, Jalan Kupang, Gerik, kira-kira 135 kilometer dari sini, kelmarin.
Tiga suspek yang juga rakan mangsa berusia antara 20 hingga 25 tahun ditahan pada jam 9.30 pagi semalam.
Mayat Mohamad Haniff Mat Zabidi, 24, dilaporkan mengalami kecederaan parah di kepala dipercayai akibat kesan tembakan dan ditinggalkan di lokasi kejadian.
Mangsa yang dipercayai tidak pulang ke rumah sejak lima hari lalu ditemui orang awam kira-kira jam 4 petang, kelmarin.
Mohamad Haniff dipercayai tidak pulang ke rumah sejak lima hari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman, berkata siasatan awal mendapati mangsa berusia 24 tahun bersama tiga suspek memburu di hutan Ahad lalu menggunakan senapang patah buatan sendiri, dipercayai milik seorang daripada penduduk kampung berusia 65 tahun yang memiliki lesen senjata api.
Katanya, hasil soal siasat mendapati seorang daripada suspek melepaskan tembakan berikutan menyangkakan mangsa adalah seekor kijang.
"Ketika memburu, keempat-empat suspek berpecah dan seorang daripada suspek melepaskan tembakan kerana menyangka mangsa seekor kijang.
"Hasil soal siasat mendapati suspek panik dengan kejadian itu sebelum meninggalkan mayat mangsa di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, susulan itu polis merampas senapang patah dan peluru digunakan dalam kejadian itu.
"Ketiga-tiga suspek direman lima hari bermula semalam hingga Selasa ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Source : https://www.bharian.com.my/