Polis berhati mulia
Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
bhnews@bh.com.my
KONSTABEL Mohd Fahmi Abd Kadir memulangkan dompet berisi wang tunai RM1,800 kepada Chong Sik Kim (dua dari kanan) selepas tercicir berhampiran stesen minyak di Pulau Sebang, Melaka. - Foto ihsan polis
TAMPIN: Seorang anggota polis tidak 'gelap mata' apabila menemui dompet berisi wang tunai RM1,800, malah sanggup mencari pemiliknya dan memulangkan duit berkenaan.
Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari tadi, Konstabel Mohd Fahmi Abd Kadir dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin terjumpa dompet yang tercicir berhampiran stesen minyak di Pulau Sebang, Melaka.
Ketika itu, dia dalam perjalanan pulang ke bandar ini selepas mengisi petrol di stesen minyak berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak, berkata Mohd Fahmi kemudian memeriksa dompet berkenaan dan mendapati ia mengandungi wang tunai berjumlah RM1,800.
Berdasarkan alamat pada kad pengenalan dalam dompet itu, Mohd Fahmi meminta bantuan rakan sejawat berdekatan untuk mencari pemiliknya, Chong Sik Kim, 61, yang beralamat di Taman Bukit Melaka, Bukit Beruang.
"Selepas lebih dua jam mencari, Mohd Fahmi berjaya menemui pemiliknya dan memulangkan dompet itu.
"Selepas dompet dan wang diserahkan, pemiliknya menzahirkan rasa terharu dan memuji kejujuran Mohd
Fahmi," katanya di sini, malam ini.
Source : https://www.bharian.com.my/