Artikel Terbaru

Menangis didakwa cabul remaja perempuan

MUHAMMAD Zaki Qadim diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan gangguan seksual ke atas remaja perempuan, tahun lalu. - Foto Rasul Azli Samad

Menangis didakwa cabul remaja perempuan

Oleh Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@nstp.com.my

MELAKA: Seorang pekerja pemasangan tiang jalur lebar terduduk dan menangis teresak-esak hari ini selepas Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini menawarkan jaminan RM10,000 terhadapnya yang didakwa melakukan gangguan seksual ke atas remaja perempuan, tahun lalu.

Muhammad Zaki Qadim, 21, yang mengaku tidak bersalah, hanya membatukan diri ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang remaja perempuan yang ketika itu berusia 15 tahun dengan cara menyentuh payu daranya pada jam 2.30 pagi di Taman Sri Pelangi, Rumbia, Alor Gajah, pada 26 Julai 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd Rawi, yang melakukan pendakwaan mengesyorkan mahkamah tidak membenarkan jaminan dengan mengambil kira mangsa, yang juga jiran kepada tertuduh.

"Sekiranya tertuduh dibenarkan jaminan dan bebas, dikhuatiri boleh mengganggu mangsa yang juga saksi pendakwaan," katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dibenarkan jaminan dengan alasan tidak lagi bekerja selepas terbabit kemalangan, selain perlu menanggung isteri dan dua anaknya berusia setahun lapan bulan dan empat bulan.

Mahkamah kemudian menawarkan tertuduh jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Source : https://www.bharian.com.my/
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==