SAYED Ibrahim Mohamad Nordin, berbincang dengan seorang pelajar. - Foto Nazdy Harun
Tinggal perniagaan demi mengejar ilmu agama
Oleh Nazdy Harun
bhnews@bh.com.my
HULU TERENGGANU: "Sejak dua tahun lalu, saya nekad meninggalkan dunia yang penuh kesenangan apabila mengambil keputusan menghuni madrasah ini bagi mendalami ilmu keagamaan.
"Hasrat saya tidak dihalang isteri, malah menyambut baik apa yang saya lakukan. Demi jihad di jalan Allah saya korbankan sebuah kedai runcit dengan menutup sepenuhnya perniagaan sejak dua tahun lalu," kata Sayed Ibrahim Mohamad Nordin, 51, ketika ditemui di Madrasah Addiniah Azzakiah, di Kampung Lubuk Periuk, di sini, semalam.
Sayed Ibrahim berkata, sejak setahun lalu dia menghabiskan masa enam hari di madrasah dan hanya pulang ke rumah pada Jumaat, bagi menemui isterinya Rohana Abdul Ghani, 51, yang tinggal di Kampung Machang, di sini.
Katanya, dia nekad menutup kedai runcit yang diusahakannya sejak 31 tahun lalu di Kampung Machang, yang saban hari menjamin pendapatannya demi mendalami ilmu agama yang dirasakan amat sedikit dipelajarinya sebelum ini.
Ibrahim berkata, setiap bulan pendapatannya boleh mencecah RM30,000 namun menganggap wang dan kemewahan hanya sementara dan yang kekal adalah ilmu yang boleh memberi manfaat, sama ada ketika masih hidup mahupun selepas meninggal dunia.
"Segala-galanya bermula selepas mendengar ceramah seorang ustaz hingga menitiskan air mata. Selepas itu timbul keinsafan dalam diri apabila merasakan saya amat cetek ilmu berkaitan agama.
"Lalu saya membuat keputusan tidak mahu lagi berniaga dan dengan sedikit pendapatan hasil kebun getah dan sawit sudah memadai untuk meneruskan kehidupan harian.
"Selepas melunaskan semua hutang perniagaan, saya menutup perniagaan dan berhijrah ke madrasah ini untuk mendalami ilmu agama yang ternyata tidak merugikan diri dan keluarga," katanya yang mempunyai lima cahaya mata berusia 13 hingga 24 tahun.
Ibrahim berkata, kehidupannya lebih tenang di madrasah berkenaan dan sepanjang hari dia bersama pelajar lain mengikuti pelbagai aktiviti keagamaan yang disusun pihak pengurusan.
Katanya, walaupun sudah berusia namun beliau tidak kekok bergaul dengan pelajar yang lebih muda yang dianggap seperti anaknya berikutan perbezaan faktor usia yang jauh.
Beliau menyifatkan, pada usianya sekarang kemewahan sudah tidak penting dan yang paling berharga adalah ilmu yang bermanfaat, selain kebahagiaan keluarga serta anak-anak yang mampu memberi ketenangan.
"Harta dunia tidak boleh dibawa mati hanya ilmu bermanfaat, sedekah dan doa anak-anak soleh menjadi bekalan di alam sana nanti oleh itu mempersiapkan diri untuk menempuh kematian adalah wajib.
"Saya tidak hirau apa orang hendak kata asalkan apa yang saya lakukan tidak bercanggah dengan ajaran agama dan terbaik dalam kehidupan saya sekeluarga," katanya.
Katanya, beliau amat bersyukur kerana isterinya memahami apa yang dilakukan kini dan banyak berkorban menjaga dua anak mereka yang masih bersekolah di rumah.
Beliau berkata, sekiranya mempunyai perkara penting, dia dibenarkan pulang oleh pihak madrasah dan kedudukan rumahnya yang tidak jauh juga memudahkan pergerakannya untuk pulang.
Ibrahim berkata, sepanjang berada di madrasah, beliau perlu berdikari dengan melakukan pelbagai kerja termasuk membasuh dan memasak sendiri, yang secara tidak langsung dapat meringankan beban isterinya di rumah yang selama ini banyak berkorban melakukan urusan itu.
Sementara itu, pemilik madrasah Zaki Mansur, 43, berkata pusat pengajian itu mempunyai 40 pelajar dengan paling muda berusia 15 tahunm manakala Ibrahim adalah yang paling tua iaitu 51 tahun.
"Usia bukan halangan menuntut ilmu. Oleh itu kita sentiasa membuka ruang dan peluang kepada sesiapa pun yang datang untuk menuntut ilmu agama disini," katanya.
Menurutnya, walaupun banyak yang masih kurang, namun sejak beroperasi empat tahun lalu madrasah ini tidak pernah putus daripada menerima pelajar, sama ada dari jauh dan dekat seperti Sarawak, Pahang dan Perak.
Source : https://www.bharian.com.my/