Artikel Terbaru

'Kami hanya mampu menangis'

NORMALA dan suaminya, Ahmad Hussain (dua dari kanan) menerima kunjungan dan bantuan Ashari di rumah inap desa berhampiran Kampung Parit Raja Laut, Jalan Joned, Muar. - Foto Tular Media Sosial

'Kami hanya mampu menangis'

Oleh Mohamad Fahd Rahmat
fahd@nstp.com.my

MUAR: Empat beranak hanya mampu menangis melihat rumah mereka di Kampung Parit Raja Laut, Jalan Joned, di sini, musnah dalam kebakaran jam 8.30 malam kelmarin.

Tiada apa yang dapat diselamatkan, termasuk wang simpanan hasil titik peluh mereka berniaga. Kerugian dianggarkan kira-kira RM10,000.

"Saya terkilan kerana wang itu adalah hasil titik peluh kami berniaga. Kami bukan orang senang yang dapat upah setiap bulan... tapi nak buat macam mana, tiada rezeki," kata mangsa, Normala Halid.

Namun, Normala, 46, berkata beliau lega kerana mereka sekeluarga tidak berada di rumah ketika kejadian itu.

"Saya lega kerana kedua-dua anak berusia 18 tahun dan 19 tahun juga ikut kami berniaga di gerai makan tidak jauh dari rumah, selain mengambil keputusan ke pasar raya untuk membeli-belah.

"Saya tidak boleh bayangkan apa akan berlaku jika kami pulang awal," katanya sambil menambah mereka sepatutnya pulang ke rumah jam 8 malam.

Normala berkata, ketika membeli barang, jiran menghubungi dan memaklumkan rumah mereka terbakar.

Normala berkata, apabila tiba di rumah, mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana api marak dan memusnahkan semua peralatan, barangan serta wang simpanan berniaga.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Ashari Md Sarip, berkata keluarga berkenaan akan ditempatkan di inap desa selama dua hari sebelum berpindah ke rumah transit.

Beliau berkata, empat beranak itu dibenarkan tinggal di rumah transit sehingga rumah mereka siap dibina.

"Kami juga menghulurkan bantuan wang tunai kepada mereka," katanya.

Source : https://www.bharian.com.my/
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==